Jan 26, 2013

Bocor


Mengeluh. Aku sandar pada bantal yang berbalut kain berbunga ungu; pilihan ibuku,selalunya begitulah citarasa wanita. Bantal itu pula aku sandarkan pada kayu dinding bercat coklat. Tangan masih aku letak pada papan kekunci Acer milikku sambil mata tidak lepas memandang arus coretan manusia di burung biru.

Setitik air menitis tepat atas abjad J pada papan kekunci. Aku pandang atas,meliarkan mata ke arah atap rumah mencari jika ada rongga-rongga yang mungkin mendiaminya. Aku tajamkan pula pendengaran mencari bunyian yang biasa bingar pada musim tengkujuh. Aneh,tak pula hujan.

Dek kerana lama tidak bereaksi, skrin komputer bertukar gelap. Aku pejamkan mata,rehatkannya sebentar. Terasa ada bendalir yang berlari lembut di pipi. Aku kesat dan aku tatapnya yang berada di dalam genggam tangan. Untuk apa tangis ini dan untuk siapa? Mata terpasak pula pada titisan yang belum kering di atas abjad J tadi. Abjad itu. Yang kini sering aku tuturkan usai sujudku pada Nya.

Terpapar wajah sendiri pada skrin gelap itu. Tak silap lagi. Mataku bocor. Ada air yang keluar dari rongganya. Aku cemas,kenapa makin laju? Terasa pula sebak di dada. Ini pasti kerja si rindu lagi. Aku takkan maafkan si mata kerana sanggup berkomplot dengan si hati. Kenapa harus ditangiskan rindu? Aku capai telefon bimbit,kosong. Tiada pesanan.

Tertidur.