BERSEDEKAH, di antara amalan sunat yang dianjurkan dan digalakkan kepada umat Islam, tidak kira status atau taraf hidup mereka.Malah amalan mulia ini bukan hanya kepada orang-orang kaya, tetapi mereka yang berpendapatan rendah juga disarankan melakukannya, menurut kadar kemampuan masing-masingNabi Muhammad s.a.w. bersabda : Tangan yang di atas (orang yang memberi) itu lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).
Semoga panduan dan pesanan daripada Ketua Unit Syariah dan Penerangan, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Shukri Yusoff , dapat dijadikan bimbingan bersama.
Soalan: Apakah pengertian sedekah dan terangkan bentuk-bentuk sedekah sebagaimana yang disarankan oleh Islam?
Jawapan: Sedekah itu berasal daripada perkataan bahasa Arab, iaitu as-Sadakah : benar. Jadi apabila kita sebut tentang keimanan mahupun keyakinan kepada janji Allah s.w.t., sudah tentu di sana perlu kepada pembuktian.
Jelaslah sedekah itu adalah sebagai bentuk pembuktian kepada kebenaran iman kita dengan mengeluarkan sebahagian daripada harta kita yang Allah s.w.t. kurniakan.
Malah apabila kita menyebut sedekah ini, hukumnya sunat, berbeza dengan nazar dan zakat.
Pun begitu, apabila kita menyentuh tentang bentuk-bentuk sedekah, segolongan orang miskin di kalangan sahabat telah mendatangi Baginda lalu bertanya: “Ya Rasulullah orang kaya telah menguasai segala pahala kebaikan, mereka sembahyang, puasa seperti yang kami lakukan. Malah mereka mampu pula bersedekah dengan kelebihan harta mereka sedangkan kami tidak boleh?” Jawab Baginda: Tidakkah Allah telah membuatkan untuk kamu semua itu sesuatu yang kamu boleh sedekahkan. (Riwayat Muslim)
Di dalam hadis ini, Nabi hendak menceritakan tentang bentuk-bentuk sedekah yang disebut di dalam hadis ini, iaitu Sesungguhnya bertasbih itu merupakan sedekah dan setiap takbir juga merupakan sedekah, tahmid dan tahlil juga adalah bentuk sedekah. Selain itu, setiap perkara atau perintah untuk membuat makruf, melarang orang membuat mungkar, itu juga adalah sedekah. Bersama atau bergaul dengan isteri, itu juga dikira sedekah.
Apabila sampai kepada soalan bersama dengan isteri, maka sahabat bertanya lagi: “Adakah kami mendatangi isteri kami ini juga dikatakan sebagai satu bentuk sedekah? Lantas jawab Baginda: Apabila kamu mendatangi isteri kamu dan menunaikan hajat kamu, maka kamu akan mendapat pahala tetapi jika kamu mendatangi wanita lain yang bukan isteri kamu, sudah tentu ini merupakan satu bentuk dosa.
Hadis ini sebenarnya juga tidak bermaksud, apabila kita melakukan perkara-perkara di atas, menandakan kita sudah terlepas daripada melaksanakan tanggungjawab bersedekah.
Apa yang Rasulullah ingin tegaskan di sini, hanya sebagai satu berita gembira kepada orang yang tidak berkemampuan melakukan sedekah kebendaan.
Pun begitu, makna sedekah yang sebenar-benarnya mengikut takrif ajaran Islam, ialah dalam bentuk harta, duit, aset dan sebagainya.
Mengapakah sedekah ini perlu dalam bentuk harta? Ini kerana kalau sebut sahaja harta, duit, barangan atau aset, pastinya ia adalah sesuatu yang amat berharga dan amat disayangi. Berbeza kalau kita kita bersedekah dengan tenaga. Ia diumpamakan seperti tidak ada sebarang makna atau nilai.
Selain itu, perkataan sedekah jika bersandarkan kepada al-Quran dan hadis, sebenarnya ia dalam bentuk harta. Ini ditekankan lagi, apabila Nabi s.a.w. membuat contoh, bersedekahlah kamu walaupun dengan separuh daripada tamar. Nabi menggunakan benda, ini menjelaskan bahawa sedekah dalam konsep Islam ialah harta benda tanpa menafikan sedekah dalam bentuk-bentuk lain.
Segelintir berpendapat, sekiranya sedekah itu sunat, maka pekerjaan ini boleh dibuat ataupun ditinggalkan. Adakah begitu juga kepada amalan bersedekah?
Itu memanglah betul tetapi sebenarnya di dalam hidup kita, kalau boleh kita hendak mencapai darjat yang paling tinggi di sisi Allah s.w.t.
Hakikatnya, tawaran syurga yang Allah berikan kepada kita itu, terdapat banyak pintu, di antaranya Babus Sadakah iaitu Pintu Sedekah. Jadi mudah-mudahan, jika sedekah ini kita dapat jadikan sebagai satu budaya di dalam kehidupan, insya-Allah kita akan berpeluang masuk melalui pintu ini.
Hal ini diperkukuhkan dengan hadis sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: Sesiapa yang membelanjakan sepasang kuda, unta atau sebagainya untuk digunakan dalam perjuangan di jalan Allah, maka namanya diseru dari dalam Syurga: ”Wahai hamba Allah! Pintu ini adalah lebih baik. Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli sembahyang (orang yang sempurna sembahyangnya) maka dia diseru dari Bab Solat (pintu sembahyang). Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli Jihad (orang yang berjuang di jalan Allah), maka dia diseru dari Bab Jihad (pintu jihad). Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli Sadaqah (orang yang suka bersedekah), maka dia diseru dari Bab Sadaqah (pintu sedekah) dan sesiapa yang tergolong dari golongan orang yang suka berpuasa, maka dia akan diseru dari Bab Ar-Rayyan (pintu Ar-Rayyan).” Abu Bakar As-Siddiq bertanya: ”Wahai Rasulullah! Adakah setiap orang semestinya akan diseru dari pintu-pintu tersebut. Adakah tidak mungkin seseorang itu diseru dari kesemua pintu? Rasulullah s.a.w. bersabda: Benar! Aku berharap bahawa engkau termasuk di antara orang yang namanya diseru dari semua pintu. (Riwayat Muslim)
sumber------>halaqah.net
2 Pemisah Kata:
betul tue.. jgn kerana menganggap kite hanya ada rezeki yg sedikit kita jadi kedekut unutk berkongsi dngn orang lain yang lebih memerlukan..
ya,btol tu khalis..biase la mnusia,slalu rse x cukup kan?
Post a Comment