May 7, 2011

Atasi Marah Jadi Orang Gagah

Bukanlah orang yang kuat itu dengan ukuran kuat dalam bergusti (bergelut), tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang dapat mengawal dirinya tatkala ia sedang marah – Sabda Rasulullah s.aw.(Al Hadis)
Persoalannya, apabila amarah itu datang, bagaimanakah kita mengemudinya agar kemarahan itu tidak membinasakan kita dan juga orang lain sebaliknya, memberi kebaikan kepada semua?Bagaimana jika kita gagal di dalam menangani marah? Sudah pasti kita akan menjadi golongan melampaui batas. Namun begitu, Islam ternyata indah apabila menggariskan beberapa cara untuk mengemudinya.

Mengingati Allah SWT.
Allah SWT telah menjanjikan syurga seperti di dalam petikan Al Quran bagi sesiapa yang boleh menahan amarahnya.
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.(Al Imran : 133 – 134)

Memohon perlindungan kepada Allah SWT
Sesungguhnya marah adalah godaan daripada syaitan, maka ketika menghadapinya, kita hendaklah berdoa atau mengucapkan isti’azah (Dan aku berlindung kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatanagan mereka kepadaku – Al Mu’minun : 98. )

Memaafkan kesalahan orang yang menjadi punca kemarahan
Memaafkan kesalahan orang lain adalah amat dituntut dan ianya menenangkan jiwa daripada perkara-perkara yang menyebabkan kemarahan. Bertoleransilah walaupun sebesar – besar kesalahan orang lain kepada kita kerana sebagai manusia biasa, pastilah mereka tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.
Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;(As Syura : 37)

Berwudhu’
Berwudhu’ lah untuk meredakan sifat marah, kerana ia dianjurkan oleh Rasulullah sepertimana diriwayatkan di dalam hadis.
Sesungguhnya marah itu datang daripada syaitan sedangkan syaitan itu berasal daripada api. Sesungguhnya api hanya boleh dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, apabila salah seorang kamumerasa marah hendaklah ia berwudhuk.(Riwayat Abu Daud)

Mengubah posisi
Jika kita marah di dalam keadaan diri, maka ubahlah posisi seperti duduk atau berbaring. Insya-Allah, akan redalah sedikit kemarahan itu.

1 Pemisah Kata:

Ibnushukran said...

banyak caranya untuk kita hilangkan kemarahan.. dalam Al quran dan sunnah Rasulullah saw telah ditunjukkan perbagai cara.. harap kita dapt ikutinya.. :D