May 29, 2011

Saat Hatiku Sakit,Aku Cari Ubatnya!

Assalamualaikum^_^
Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA: “ Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa. Ketiga, bangun ( beribadat ) di waktu malam. Keempat, menghampirkan diri kepada Allah ( beribadat ) disepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh ”.

Nikmat yang paling berharga dikurniakan kepada manusia ialah nikmat hati, yang merupakan raja segala gerak-geri dan tingkah-laku yang dipertontonkan oleh manusia. Hati yang diciptakan Allah semulia-mulia kejadian, di situlah akal manusia, di situlah buruk, baik, sihat, lemah manusia, di situlah segala-galanya.
Benarlah apa yang diucapkan oleh Rasulullah SAW: “ Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging, jika sekiranya baik daging itu, maka baiklah seluruh diri manusia itu. Jika sekiranya buruk daging itu, maka buruklah seluruh diri manusia itu. Ketahuilah, bahawa ia adalah hati ”.
Al-Quran yang diturunkan kepada kita melalui insan agung SAW merupakan mukjizat yang tidak ada tolak bandingnya, bahkan ia juga sebagai ubat bagi mengubati hati yang berpenyakit. Dengan kita melazimi membacanya dan mentadabbur apa yang terkandung di dalamnya, akan memperolehi ketenangan hati yang akan menyebabkan hati sentiasa tidak lalai mengingati Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “ketahuilah, dengan mengingati Allah itu, hati akan tenang”.
Begitu juga dengan mengosongkan perut dari terlalu kenyang akan mengubati segala penyakit yang tersemat dihati kerana dengannya hati akan beroleh kerehatan dan meringankan untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT serta menjauhkan dari segala penyakit yang memudaratkan. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barangsiapa yang sedikit makannya, sihatlah perutnya dan bersihlah hatinya. Barangsiapa yang banyak makannya, maka sakitlah perutnya dan keraslah hatinya”.
Sabda Rasulullah SAW lagi: “ janganlah kamu matikan hati kamu dengan membanyakan makan dan minum, sesungguhnya hati itu seumpama tumbuh-tumbuhan, jika banyak disirami air maka ia akan mati ”.
Seterusnya, diantara ubat bagi mengubati hati ialah dengan sentiasa bagun malam beribadat kepada Allah SWT kerana dengannya akan menjauhkan diri kita dari tipu daya syaitan dan menjauhkan dari melakukan dosa serta mendapat keredhoan dari Allah SWT. Rasulullah SAW sentiasa mengingati ummatnya: “ hendaklah kamu bangun malam ( beribadat ) walaupun hanya mengerjakan satu rakaat sembahyang ”.
Hati akan terubat dari segala penyakit dengan sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh. Ini akan menyebabkan sedikit sebanyak akan terikut dengan tingkah laku, perbuatan dan percakapan mereka yang sentiasa mengingati Allah SWT. Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda: “ Berkata Luqman Al-Hakim kepada anaknya, wahai anakku, sentiasalah kamu berada dalam majlis alim ulama ( orang-orang yang soleh ) dan dengarlah kata-kata hikmah dari mereka. Sesungguhnya Allah SWT akan menghidupkan hati yang mati dengan cahaya hikmah sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan siraman hujan yang lebat ”.
Berkata seorang hukama’ : “ Sesungguhnya Allah SWT mempunyai sebuah kebun di atas dunia ini, barangsiapa yang masuk ke dalamnya maka bahagialah hidupnya. Kemudian ditanya padanya: “apakah kebun itu?, lantas dijawab bahawa kebun itu adalah majlis-majlis ilmu ( mengingati Allah ).
Mudah - mudahan kita digolongkan dikalangan hamba-hambanya yang sentiasa dalam keadaan hati bersih dari segala penyakit-penyakit yang menyebabkan kita lalai mengingati Allah SWT.
dikongsikan dari: Ubat Hati

1 Pemisah Kata:

CikTeddyCorner said...

wassalam..
doitashi ma shite!^_^